Puisi Buat Ummiku Tercinta




Ummi,
Diriku ini sentiasa mengingatimu,
Dalam sedar dan dalam tidurku,
Siang dan malamku dipenuhi dengan kenangan bersamamu,
Sehinggakan kadangkala aku terduduk diam membisu.
Memikirkan mampukah aku meneruskan hidup tanpamu.

Ummi,
Wajahmu penyejuk mata,
Kata-katamu pemberi semangat luar biasa,
Sentuhanmu amat didamba,
Ketiadaan kehadiranmu di sisi sangat dirasa.

Ummi,
Empat puluh tahun dahulu kau dilahirkan ke dunia,
Disambut bahagia oleh ibu bapa,
Dua puluh tahun kemudiannya tibalah saat diriku pula,
Muncul memberikan kebahagiaan kepada kalian berdua.

Ummi,
Aku kini telah mencapai usia dua puluh tahun itu,
Aku kini telah sampai di pertengahan perjalananmu dahulu,
Aku kini semakin merasai pahit manis pengalamanmu,
Yang selalu kau ceritakan kepadaku,
Saat aku masih kecil masih tidak tahu menahu.

Berada di pertengahan usia,
Membuatkan aku sering tertanya-tanya,
Mengapakah jalan kita berdua seakan-akan sama,
Minat, rasa dan pemikiran, seolah-olah tiada beza antara kita.

Dalam sunyi sepi, jawapan kepada soalan itu menghampiriku,
Aku dilahirkan dari perutmu wahai ibu,
Aku membawa sifat yang aku ambil darimu,
Aku mengalirkan darah yang disalurkan darimu dahulu.
Maka tidak mustahil jika kita seakan-akan satu.

Tidak mustahillah jika aku disakiti, maka kau yang pertama mengetahui,
Tidak mustahillah jika engkau disakiti, maka aku turut terluka dalam sunyi,
Itulah hikmah ikatan ibu dan anak yang baru aku terokai,
Yang dahulunya aku tidak pernah hargai…

. . . . .

Ya Tuhanku, setinggi-tinggi pujian bagi-Mu,
Kerana telah menciptakan beliau untukku,
Beliau yang telah dilahirkan empat puluh tahun dahulu,
Yang kemudiannya menjadi ibu yang sempurna buat diriku.

Ya Tuhanku, sungguh aku sangat menyayangi mereka berdua,
Dan aku pasti mereka sangat menyayangi diriku jua,
Kau kuatkanlah lagi ikatan kasih sayang antara kami semua,
Jangan pernah kami terlepas dari rahmat dan kasihMu sehingga ke akhirnya.

Ya Tuhanku, Kau pelihara dan jagalah mereka,
Sebagaimana mereka memeliharaku sejak muda,
Kau pertemu dan satukanlah kami di syurga,
Agar segala keindahan ini tidak terhenti di sini sahaja…

. . . . .

Ummi,
Selamat Hari Lahir untuk kali yang keberapa,
Terima kasih kerana telah lahir ke dunia,
Terima kasih kerana telah mewarnai hari-hari kami semua,
Terima kasih kerana sentiasa berdiri kuat sentiasa,
Tetap teguh, semangat dan tidak berputus asa,
Dalam menjalani kehidupan yang ditakdirkan oleh Yang Maha Esa.

Semoga kita sama-sama terus maju dalam mendidik anak bangsa !

Dari kejauhan,
Anakmu yang penuh dengan dosa.

Ditulis pada:
10:04 PM, 25/12/2015
Mohammedia, Morocco.

Comments

Popular posts from this blog

Bangkai.

Aku dan 'aku'.

#Sabar.