Pertemuan dan Perpisahan

 
Hai kau di sana,
Kau hadir dahulu di dalam berita,
Belum lagi bertemu muka dan sua,
Namun aku sudah teruja.

Aku menunggu menahan kinja,
Kunjungan yang tidak tiba-tiba,
Akibat tersekat di sini dan sana,
Apakan daya bukanlah aku pemegang kuasa.

Ku biarkan perginya masa,
Harapan ku jauhkan agar tidak terluka,
Menerima sahaja apa yang ada,
Agar tidak akan merasa hampa.

Akhirnya tiba jua anak-anak sang raja,
Hadirnya sahaja membuatkan aku ketawa,
Patah katanya memberi aku seribu makna,
Menyedari diri ini sudah tua.

Maka episod baru pun bermula,
Bersama segunung harapan kepada Yang Maha Esa,
Agar tiada lagi duka dan lara,
Agar hidup ini hanya dipenuhi dengan bahagia.

Kau dan aku bersama-sama,
Meniti hidup yang hanya sementara,
Menyelami hati juga bicara jiwa,
Meluahkan apa yang sudah dirasa.

Benarlah kata dan bicara,
Kita tidak akan selamanya gembira,
Hadir dalam senyap, badai yang melanda,
Menguji keutuhan ukhuwwah kita.

Sudah jatuh ditimpa tangga,
Usai satu bencana satu lagi datang menimpa,
Oh Apakan daya,
Aku hanya mampu berusaha.

Aku mengenang nasib kau di sana,
Siang, malam hingga ke pagi buta,
Risaunya aku tidak terkata,
Adakah aku punca segala?

Dari jauh ku kirimkan semangat dan kata-kata,
Agar kau tidak pernah terluka,
Dari apa-apa yang akan kau sangka,
Moga kau selamat dari gangguan musuh-Nya.

Akhirnya, kau selamat sahaja,
Sudah ku arif kau tabah orangnya,
Namun, kisah ini tidak berakhir begini rupa,
Kehadiran ibubapamu pengubah cerita,

Kau dan aku sekali lagi duduk bersila,
Membincangkan tentang perpisahan kita,
Yang nampaknya hanya menuju ke satu hala,
Akhirnya, hanya terpaksa akur dengan mereka.

Kini, tibalah masanya,
Yang aku cuba mengelak darinya,
Sudah berhari ku alirkan air mata,
Membayangkan perpisahan yang aku sangat tidak suka.





Aku terbaca,

Setiap yang kita suka akan akhirnya mengembara,
Kau diantara yang aku suka,
Yang Tuhan pinjamkan buat sementara.

Terima kasih atas segalanya,
Minta maaf atas segala duka dan lara,
Semoga kau senantiasa baik-baik sahaja,
Moga saat pulang nanti, kau masih insan yang sama atau lebih luar biasa.

Kini, hanya tinggal aku dan Dia,
Mungkin saat kau ada, aku jarang mengingati-Nya,
Mungkin ini amaran buat diri yang hina,
Bahawa Hanya Tuhan yang layak dicinta.

p/s: “Akak, kalau saya balik, dikira berputus asa ke?”
        “Semestinya pulang ke pangkuan keluarga itu bukan tanda berputus asa.”

12:03 AM, 22/11/2014 (Ahad).
Mohammedia, Morocco.





Comments

Popular posts from this blog

Bangkai.

Aku dan 'aku'.

#Sabar.