Kisah Orang Tua dan Muda


Orang Tua : Bangun awal pagi-pagi sebelum subuh tu… buat qiyam ke, baca quran ke..
Orang Muda : Mengantuklah, malam semalam tidur lewat, banyak kerja kena siapkan.

Orang Tua : Jangan tidur lepas subuh, nanti rezeki tak masuk…
Orang Muda : Laa, bukan boleh solat sunat pun after subuh, tidur je lah, sekejap je pun.

Orang Tua : Pergi masuk dapur tu tolong ibu masak sarapan.
Orang Muda : Ala, nama pun masak, mestilah golongan ibu-ibu je yang buat..

Orang Tua : Turun sarapan nak, sekali makan dengan keluarga…
Orang Muda : Takpelah, sarapanlah dulu. Saya ada banyak kerja ni.

Orang Tua : Bawa bekal ni pergi kerja. Nanti boleh makan terus tengahari nanti.
Orang Muda : Tak payahlah. Nanti saya keluar makan di kedai je.

Orang Tua : Buat kerja bersungguh-sungguh, amanah dengan tanggungjawab..
Orang Muda : Alah, time bos takde, kita curi tulanglah sekejap.. Hidup mesti enjoy!

Orang Tua : Nak.. jaga hubungan lelaki perempuan semasa kerja tu…
Orang Muda : Itu kawan, susah senang dia tolong. Kalau takde dia, tak tahulah nak kerja camane.

Orang Tua : Habis kerja nanti, balik rumah terus ya.. Tak mau merayau-rayau…
Orang Muda : Kawan ajak lepak kedai kopi jap.. Alah, bukan selalu kawan ajak lepak..

Orang Tua : Tidur tu jangan lupa baca doa, istighfar, tepuk-tepuk sikit bantal, maafkan semua orang..
Orang Muda : Yeay !! Tidur!! Arghhh, penatnya…

Orang Tua : Bangun awal nak ……
Orang Muda :  ….


* * * * * * * *

Orang Tua bangun di tengah malam. Malam yang sepi dengan hanya ditemani bunyi angin sedikit kencang di luar. Terketar-ketar bangun menuju tandas. Terbongkok-bongkok menahan sakit yang mencucuk di tulang belakang. Perlahan-lahan tangan memusing pili air. Dia tidak mahu air yang banyak mengalir laju. Hanya mahu sedikit. Sedikit sahaja. Buat bekalan wudhu’nya. Tangan ditadah menakung air yang sejuk. Perlahan-lahan disapu ke muka. Penglihatan yang kabur sedikit demi sedikit menjadi cerah. Alhamdulillah, atas nikmat kesejukan dari air yang mengalir ini…

Usai berwudhu’, dia membentangkan sejadahnya yang sudah lusuh dimamah usia. Bukan dia tidak mahu yang baru, namun sejadah ini punya satu nilai istimewa. Turut bersama-samanya di setiap malam yang gelita. Turut bersama-samanya menjadi saksi segala hiba. Tangan diangkat sambil melaungkan takbir. Seluruh badan bergetar apabila sahaja disebut nama itu. Satu nama yang Menguasai segalanya. Satu nama yang bertakhta di hatinya sekian lama. Alhamdulillah, atas nikmat dapat mengenali-Nya sejak lahirnya diri ini hinggalah pada saat umur sudah di hujung usia ini…

Selesai sudah sujud dan ruku’ Orang Tua kepada Yang Esa. Kini, tibalah masanya. Masa untuk dia mengadu segala-galanya. Segala suka dan duka yang dipendam olehnya. Pahit getir dalam menjaga Orang Muda. Orang Muda yang tidak tahu apa erti menjadi seorang Yang Tua. Orang Muda yang masih ingin bersuka ria. Lupa bahawasa dunia akan bertemu penghujungnya. Tangan yang jelas kelihatan urat-urat hijaunya ditadah mengadap langit. Dia bakal berbicara dengan-Nya. Dia perlu hilangkan segala dunia di sekelilingnya. Bismillah..

* * * * * * * *


“Ya Allah, Tuhan sekalian alam. Tuhan Yang Maha Awwal dan Maha Akhir. Yang Menguasai segala-galanya. Ampunkan dosaku, Ya Allah. Aku sudah lama menjadi Tua, namun aku masih tidak mampu mendidik mereka yang Muda. Ya Allah, seandainya Orang Muda tahu, bahawa pada dua pertiga malam itu, terdapat banyak kelebihan dari-Mu, sudah tentu mereka tidak mahu tidur kerana menunggu waktu itu. Seandainya Orang Muda tahu, bahawa apabila mereka tua, mereka terpaksa berpagi-pagi membanting tulang demi keluarga, nescaya mereka tidak akan tidur lena selepas subuh-subuh mereka. Seandainya mereka sedar, suatu ketika, ibu mereka akan pergi jua, sudah tentu mereka akan menghabiskan masa menghadap wajah ibunda yang bersusah payah melahirkan mereka.”

“Mereka juga masih belum tahu, suatu ketika hidup mereka akan menjadi terlalu sibuk dengan kerja, hingga tiada masa untuk keluarga, yang selama ini sebenarnya menjadi tulang belakang mereka, dalam menghadapi kerenah dunia. Andai mereka tahu, bahawa air tangan ibunda itu sangat berharga, nescaya mereka tidak akan menolaknya. Mereka juga masih lupa bahawasa amanah kerja mereka akan dipersoalkan saat dikumpulkan kita semua. Malah, setiap hubungan dan muamalah mereka juga akan ditanya. Maka dengan itu, aku mohon ampun Ya Tuhanku. Aku juga antara penyebab mereka masih lupa.”

“Ampunkan dosa mereka Ya Tuhanku. Andai mereka tahu, bahawasa akan tiba suatu masa, di mana dari tidur mereka tidak akan lagi terjaga, sudah tentu mereka tidak akan melakukan segala noda. Tidak akan lagi melakukan titik-titik hitam penggelap jiwa. Ampunkan dosa kami semua. Baik Yang Muda mahupun Yang Tua. Sungguh kami semua akan bertemu Engkau, Yang Maha Esa.”

* * * * * * * *

Kau Orang Muda, dengarlah kata Orang Tua. Sungguh mereka hidup lebih lama. Mereka tahu apa yang dikata. Mereka suatu ketika dahulu seperti kita juga. Muda jiwa, Muda tenaga, Muda segala-galanya. Namun, pengalaman hidup mengajar mereka erti dewasa. Kau jangan keras kepala. Bagai kau raja di atas takhta. Tundukkan kepala. Taati perintah-Nya. Kemudian baru kau seiringkan dengan kehendak dunia. Seimbangkan keduanya.

11:29 PM, 10 Januari 2015, (Sabtu)
Mohammedia, Morocco.

p/s: Aku golongan pertengahan usia. Tapi boleh jadi Orang Tua. Tua kerana ajal makin tiba.

Comments

Popular posts from this blog

Bangkai.

Aku dan 'aku'.

#Sabar.